Saturday, June 23, 2012

Saya mesti sabar selalu


Wahai diri, bersabarlah.

Tempat yang paling mencabar kesabaran saya adalah di ED berbanding dengan posting lain. Berhadapan dengan seribu satu kerenah pesakit amat menguji kemampuan saya menahan sabar dan terus bersabar. Mungkin cabaran itu bertambah dengan perasaan letih dan penat bekerja sehari-hari.

Setiap hari saya berkata pada diri yang saya harus memberi yang terbaik untuk pesakit-pesakit saya. Paling kurang, saya menyambut mereka dengan baik dan senyuman walaupun mereka datang dengan demam biasa pada pukul 4 pagi; pada saat badan saya sudah memberi isyarat kepenatan yang amat sangat. Pesakit-pesakit saya datang untuk memohon bantuan dan mereka berharap yang terbaik daripada kami yang memberi rawatan (pedulikan mereka yang datang dengan niat yang lain); walaupun bagi kami yang merawat, perkara tersebut amat lah kecil dan simple.

Semua ini kerana saya juga manusia biasa. Saya juga bakal memerlukan bantuan mereka di luar sana; tidak kira di mana sama ada di bank, pejabat pos, pasaraya atau di mana-mana sahaja. 

Dan yang paling utama sekali adalah kerana saya hanya seorang hamba kepada Tuhan yang Satu. Kerja saya adalah amanah buat saya. Dan sebagai seorang hamba, saya hanya meminta dan memohon kepada Tuhan saya untuk segala-galanya; termasuk perkara-perkara kecil dan simple dalam hidup saya hanya kerana saya tidak tahu apa perancanganNya. Saya tidak dapat bayangkan jika Tuhan tidak mendengar permintaan saya, tidak membantu saya, tidak mengendahkan saya dalam saya menjalani kehidupan ini.

Jadi, wahai diri, bersabarlah dengan mereka yang memerlukan bantuan. Bersabarlah dan berikan yang terbaik untuk mereka. Semoga Allah juga sentiasa melimpahkan rahmatNya pada diri yang serba kekurangan ini. Ameen.

71200 Seremban

No comments:

Post a Comment