Semasa posting ini saya banyak mengeluh sendirian.Semasa posting ini saya banyak memujuk hati menahan sabar. Semasa posting ini saya banyak merenung kembali mencari kekuatan. Semasa posting ini saya banyak memohon pada Tuhan agar dimudahkan segala urusan.
Biarlah mereka yang berbaju biru itu selalu salahkan kami (HO) semasa meeting department sebab 'tak buat' discharge summary serta itu dan ini; padahal komputer di wad hanya 3, server selalu down, kertas A4 pun kadang-kadang tiada dan printer selalu tidak berfungsi. Selalunya semua sudah siap, tetapi tak dapat print sebab printer rosak. Banyak kali juga saya print semula discharge summary untuk pesakit yang sama sebab hilang. Salah siapa? Pasti jari dituding ke arah kami juga dengan pelbagai alasan lain.
Biarlah mereka yang lebih berilmu itu selalu marahkan kami di wad, lepas mesyuarat jabatan atau di mana-mana; tentang apa-apa sahaja; saya tidak mahu ambil kisah sebab saya tahu memang ada antara kami yang bermasalah yang membuatkan mereka jadi begitu. Saya juga memang tak gemar dengan mereka yang bermasalah disiplin sebab mereka juga menyusahkan saya. Biar saya belajar dengan cara yang pahit sebab memang mungkin itu cara belajar yang paling baik di hospital.
Apapun, saya tetap gembira dan teruja untuk datang bekerja setiap hari. Kerja saya adalah amanah daripada Allah. Saya bekerja hanya untuk Allah. Saya tidak bekerja untuk bos - bos saya. Mereka juga manusia seperti saya. Bukan mereka yang menentukan rezeki saya, tetapi Allah. Tetapi saya menghormati mereka kerana mereka lebih berilmu dan berpengalaman daripada saya; walau apapun cara dan gaya mereka.
Setiap hari merupakan hari-hari baru untuk saya belajar sesuatu. Setiap hari saya merupakan peluang-peluang baru untuk saya menimba amalan dan keberkatan. Setiap hari merupakan ruang-ruang baru untuk saya membaiki apa yang perlu. Setiap hari merupakan sinar-sinar baru untuk saya kongsikan apa yang saya ada dengan mereka yang memerlukan.
Menjaga bayi-bayi yang tidak berdosa itu kepuasan saya.
Melihat kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang dunia itu kegembiraan saya.
Mendengar mereka menangis serta 'berlawan' dengan mereka semasa mengambil darah atau memasang branula merupakan satu kelegaan kerana saya tahu mereka masih 'sihat' dan bertenaga.
Yang pasti, semangat juang kamu semua melawan penyakit dan ketabahan ibu bapa kamu untuk terus berusaha dan berharap untuk kamu benar-benar mengkagumkan dan menginsafkan saya, betapa saya masih lagi tergolong antara manusia-manusia bertuah yang lupa untuk bersyukur.
Membesarlah kamu semua dengan baik. Semoga sentiasa dilindungi Allah. Semoga diberi petunjuk ke jalan kebenaran. Semoga kamu semua bertemu Islam yang sejati, jalan kehidupan di dunia untuk menuju syurga di akhirat. Kamu semualah pewaris dan pentadbir masa hadapan. Jadilah insan mulia kerana kamu semua jugalah yang bakal memimpin anak-anak dan cucu-cukuku nanti.
Teruskan berusaha wahai diri. Bekerjalah seolah-olah akan hidup seribu tahu lagi. Beribadahlah seolah-olah akan mati esok hari.
43650 Bandar Baru Bangi
No comments:
Post a Comment