Sunday, November 6, 2011

Salam aidiladha


Salam aidiladha buat semua.
Alhamdulillah, saya bercuti untuk 2 hari ini =)

Gelombang aidiladha pada tahun ini sedikit berbeza. Liputan di Tanah Suci banyak disiarkan di media massa; lebih daripada tahun-tahun yang lalu. Perbincangan tentang isu-isu Tanah Suci juga banyak disiarkan dan yang menggembirakan saya, ianya disiarkan pada slot-slot perdana. Tidaklah seperti beberapa tahun dahulu; siaran-siaran seperti ini hanya akan ke udara pada jam 6.00 petang. Bertambahlah azam saya untuk berusaha untuk menyahut panggilan tersebut.

Berusaha dari segi kewangan sudah menjadi satu kemestian. Mengerjakan haji diwajibkan ke atas mereka yang mampu sahaja. Saya perlu berusaha untuk menjadi seorang yang mampu supaya saya dapat menunaikan rukun Islam tersebut. Terima kasih kepada emak dan ayah yang telah memulakan simpanan untuk kami pergi haji sejak kami kecil lagi; gaji mereka dipotong setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun kami bertujuh beradik. Kini saya sudah bekerja dan sudah punya wang sendiri. Kini giliran saya pula untuk berbuat demikian. Tugas saya adalah untuk memastikan hasil pendapatan tersebut benar-benar bersih untuk ke sana. Jadi, saya kena bekerja dengan amanah dan bertanggungjawab di samping membayar zakat yang ditetapkan.

Berusaha dari segi kesihatan juga merupakan satu kewajipan. Walaupun masih muda, saya perlu berusaha menjaga kesihatan dari sekarang. Bermula daripada amalan pemakanan sehinggalah amalan kehidupan seharian. Oh, cabaran besar buat saya. Kadang-kadang makan pun tak tentu masa. Balik kerja sudah tiada lain di fikiran selain rehat dan tidur,. Jadi, apa yang saya buat sejak mula kerja dulu adalah mengurangkan penggunaan lif. Saya guna tangga. untuk naik dan turun. (Tapi saya hanya akan naik guna tangga hingga tingkat 3 - dan sekarang saya bertugas di tingkat 8..hehehe).

Berusaha dari segi ilmu adalah keutamaan. Walaupun sudah belajar sejak sekolah menengah tentang haji dan banyak program di televisyen berkaitan dengannya, saya masih belum jelas sepenuhnya tentang ibadat ini.

Berusaha mempersiap dan membaiki hati memerlukan ketabahan yang tinggi. Hanya kepada Allah saya bermohon untuk diberi kekuatan dan paling penting diberi petunjuk serta hidayah. Saya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap. Saya hanya manusia biasa yang boleh tertewas dengan nafsu. Saya hanya manusia biasa yang terlupa dan terleka.

Saya doakan mereka yang berada di Tanah Suci sentiasa sihat untuk menyempurnakan ibadah ini. Semoga mendapat haji yang mabrur. Wahai Tanah Suci, saya merindui kamu!

43650 Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment