Saturday, November 14, 2009

Makan satu nikmat


“Makanlah makanan yang baik-baik dari rezeki yang Kami berikan kepadamu." Surah Al Baqarah (2): 57

Saya dan adik-beradik paling tidak kisah pasal makanan. Asalkan ada makanan pada setiap waktu, itu sudah memadai. Mungkin rutin harian dan didikan emak dan ayah membuatkan kami jadi begini. Sejak dahulu sampai sekarang, walaupun bekerja, emak akan bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan dan makanan untuk tengahari serta malam. Pagi-pagi, antara giliran menu-menunya sudah pasti mihun goreng, mee goreng, kuew teow goreng, nasi lemak, jemput-jemput pisang, atau lempeng. Untuk makan tengahari yang akan dibawa sampai ke malam, emak akan menyediakan nasi putih berserta ikan goreng bersambal, sayur dan telur goreng. Menu yang ringkas sehingga ke hari ini pada hari bekerja. Seingat saya, kami tidak pernah kisah tentang menu ini sebab telur goreng memang menjadi kesukaan kami. Adik saya sanggup tidak makan jika tiada telur goreng.

Susah makan

Teringat ketika emak mengajar kami makan. Kami memang mempunyai masalah untuk makan kerana semuanya seolah-olah ‘tidak suka’ atau ‘alergi’ melihat nasi dan lauk. Apa yang kami suka adalah biskut dan roti. Emak selalu kata yang kami sama macam arwah atuk. Terpaksalah emak bersabar melayan kerenah kami semua semasa makan. Kami semua akan disuapkan sehingga butiran nasi yang terakhir untuk memastikan kami semua kenyang.

Apabila sudah besar sedikit, emak akan menunggu kami di meja makan supaya kami semua menghabiskan makanan yang ada di dalam pinggan. Kata emak, “Nasi perlu dihabiskan. Kalau tidak, nanti nasi tu menangis. Nasi tu akan cakap pada Allah masa akhirat nanti yang kita dulu buang nasi dalam tong sampah.”

Ayat lain yang selalu diulang-ulang, “Dalam nasi yang kita makan tu ada yang bawa berkat. Kita kena habiskan nasi sebab kita tak tahu yang mana yang bawa berkat.”

Kata ayah pula, "Cuba tengok dalam tv tu, orang Somalia kurus tak dapat makan. Mereka berebut-rebut cari makanan sampai kutip nasi yang jatuh dalam pasir.” Apabila kami semua sudah habis makan, selalunya emak akan menghabiskan dan meratah lauk-lauk yang berbaki agar tiada makanan yang terbazir.

Pernah ada ketika, saya terpaksa duduk di meja makan sambil menangis kerana tidak lalu menghabiskan makanan. Saya tidak dibenarkan bangun dari meja selagi tidak menghabiskan makanan. Tercekik-cekik saya berusaha menghabiskan makanan tersebut. Sejak hari itu, saya hanya akan mengambil nasi dengan kadar yang saya boleh makan walau selapar mana pun saya. Kalau tak cukup boleh tambah lagi. Tabiat ini saya teruskan sehingga ke hari ini. Selalunya, kawan-kawan pasti akan berkata, “Sikitnya Suhaili makan. Patutlah kecil. Tambahlah lagi, biar besar sikit badan.” Selalunya saya akan menjawab, “Banyak-banyak takut tak habis. Lepas ni boleh tambah lagi.”



Nasi yang banyak

Saya tinggal di asrama apabila saya mula memasuki sekolah menengah. Di sini saya belajar makan nasi kawah berserta lauk yang tidak selazat di rumah. Tetapi, tidaklah sampai tidak boleh telan langsung. Bolehlah setakat untuk melepasi anak tekak. Di sini, saya melihat banyak pembaziran berlaku. Kawan-kawan selalunya akan mengambil nasi dengan banyak, tetapi tidak dihabiskan. Bila ditanya kenapa tidak dihabiskan, mereka akan menjawab tidak larat atau lauk tidak sedap. Betapa murahnya dan rendahnya nilai makanan di mata mereka.

Sehingga saya masuk ke universiti, saya jarang melihat orang menghabiskan makanan sendiri atau dengan kata lain makan sehingga licin. Apa yang menghairankan, sesetengah orang yang saya segani dari segi latar belakang agamanya pun kadang-kadang membiarkan pinggan mereka bersisa dengan nasi atau makanan. Saya bertanya kepada emak tentang hal ini kerana saya tidak faham macam mana hal ini boleh berlaku. Emak kata, “Benda ini kena latih sejak kecil. Susah sedikit kalau nak ubah bila dewasa. Itu sebab mak ajar anak-anak mak benda baik dari kecil. Kalau mak tegur tu tandanya mak sayang anak-anak mak.” Baru saya faham.

“Wahai anak Adam! Pakailah pakaian yang bagus pada memasuki masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” Surah Al-A’raf (7):31

Perut besar

Di kalangan teman-teman rapat saya, saya kadang-kadang akan menghabiskan makanan mereka jika mereka tidak dapat menghabiskannya. Kadang-kadang saya rasa tak berapa manis untuk berbuat demikian, tapi saya sangat tidak sampai hati untuk melihat makanan-makanan tersebut berakhir di tong sampah. Betapa tidak bersyukurnya kita dengan nikmat yang diberi. Kawan-kawan selalu berkata, “Suhaili ni badan je kecil, tapi makan banyak. Perut dia besar.”

Yang sebenarnya bukan perut saya yang besar. Tapi saya tidak makan sehingga betul-betul kenyang. Saya tidak suka perasaan ketika berada dalam keadaan kekenyangan. Tak seronok sebab kita tak rasa nak makan walaupun ada makanan di depan mata.

Semakin saya dewasa, saya menjadi lebih mengerti akan nikmat makan. Nikmat makan yang dikongsi akan sentiasa menjadi cukup untuk semua yang ada tanpa dijangka. Orang-orang miskin bergelut dengan kehidupan untuk mencari nikmat makan. Namun demikian, orang-orang kaya ditimpa musibah daripada nikmat makan. Bagi pesakit-pesakit saya di hospital pula, mereka hilang nikmat makan kerana penyakit yang dialami. Bagaimana pula dengan kita yang dikurniakan kesihatan dan kemampuan ini?

MAKANAN merupakan nikmat. BOLEH MAKAN juga merupakan nikmat. Gunakanlah kedua-dua nikmat ini dengan sebaik-baiknya agar kita mendapat berkat daripada Allah. Berkat Allah boleh didapati di mana-mana walaupun dari sekecil-kecil urusan makan. Ingatlah pada setiap kali kita makan bahawa ada orang lain yang masih kelaparan. Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat yang diberi. Semoga Allah menambah nikmat dan memberi keberkatan dalam hidup kita.

“Dan makanlah dari apa yang diberikan Allah kepada kamu sebagi rezeki yang halal dan baik dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.” Surah Al-Maidah (5): 88

25200 Kuantan

No comments:

Post a Comment