Thursday, November 26, 2009

Salam 'Aidiladha


Salam 'Aidiladha buat semua.

Setiap tahun saya menghitung hari untuk saya menghabiskan tempoh pengajian ini. Saya mahu mempunyai wang sendiri. Saya mahu kumpul duit untuk pergi haji.

Setiap bulan sejak saya kecil, ayah akan memotong gaji beliau untuk dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji anak-anaknya yang seramai 7 orang ini. Emak kata, senang kalau dah ada simpanan. Dahulu, setiap 6 bulan, penyata simpanan akan dihantar ke rumah. Kami adik-beradik akan teruja membanding-banding jumlah simpanan 'wang masing-masing'.


Tahun lepas, saya dan Nabilah (adik ke 2) sudahpun mendaftarkan nama untuk pergi haji. Senang sahaja caranya. Cuma perlu pergi Tabung Haji yang terdekat dan bawa buku simpanan. Tabung Haji juga menyediakan perkhidmatan pendaftaran secara online. [di sini] Kalau mengikut giliran, kami akan pergi pada tahun 2015. Tetapi saya yakin, kami boleh pergi lebih awal.

Menunaikan haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam walaupun ia bergantung kepada kemampuan kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk cuba menunaikannya. Masukkan perkara ini dalam agenda perancangan hidup kita sejak awal lagi supaya kita tidak terlepas pandang. Ini kerana, semakin kita berumur, semakin banyak tanggungjawab yang akan tersandang di bahu. Takut-takut tidak sempat pula untuk ke sana. Apa penting adalah untuk kita berusaha dan berdoa supaya diberi kemampuan untuk melaksanakannya.



Selamat Hari Raya 'Aidiladha buat semua.

Selamat menunaikan haji untuk semua pensyarah saya; Mr Azril, Mr. Hafiz, Prof Ariff, Dr Ziana dan Dr. Bahiyah. Semoga kalian mendapat haji yang mabrur. Semoga selamat pergi dan pulang ke tanah air. Doakan kejayaan kami di sini.

Bersabar menanti giliran menjadi tetamu Allah.

25200 Kuantan

1 comment:

  1. jgn hebohkan ko akan pergi haji...takut2 terlepas nanti faham2 jelah....

    ReplyDelete